Pages

.:: S A H A B A T ::.

tabung

Friday, May 8, 2015

Selalu, bila aku terbayang-bayang detik-detik sebelum nendaku, Arpah binti Menaji mahu meninggalkan kami buat selama-lamanya, segala-gala yang Allah telah atur untuk setiap satu kami anak cucunya, setiap dari kami, punya momen sendiri. 

Aku yakin, ada yang mahu Allah sampaikan.

Pagi, dengan aku yang Allah bagi cuti. Bangun lewat. Biasalah.

Tapi dengan satu panggilan, aku boleh bangun. Gigih bangun, bersihkan diri sekadarnya. Tanpa menjamah sikitpun sarapan yang mak buatkan walau sudah dipelawa sungguh-sungguh. Macam ada yang memanggil. Pentingnya sampai aku usaha sedaya supaya sampai ke rumah arwah secepat yang mungkin.

Allah sudah atur malam sebelum untuk aku tidur dengan jumper. Dengan seluar panjang.
Supaya esoknya aku boleh iring, dengan harapan nenda masih boleh diselamatkan, ke hospital tanpa aku kelibut mencari tudung menyalin pakaian. Walau tidak sempurna mana auratku tertutup, syukurku hanya Allah tahu, betapa aku direzekikan DIA untuk diambil nenda dalam pangkuanku. Dalam pelukanku. Hayat terakhirnya tamat di dekat aku yang masih belum mahu percaya yang rambut putih yang tengah aku belai sudah kosong tiada roh.

Benarlah. Untuk setiap apa jua kejadian, baik dan buruk, Allah sudah atur, cantik untuk setiap hambanya. Setiap satu, sekecil-kecil perkara, dan sebesar-besar kejadian, itulah selayaknya yang terjadi. Cantik, Allah susun cantik untuk kita. Cuma tinggal kita yang perlu berfikir. Guna akal yang Allah bagi percuma untuk mencari setiap hikmah. Bersangka baik dengan Allah. Kena selalu ingatkan diri, muhasabah diri, supaya sentiasa nampak yang indah saja walau dalam seburuk-buruk kejadian.

Semoga mampu aku didik diri. Untuk mencari yang baik dalam kajahatan. Yang indah dalam kecelakan. Aamin.


Wednesday, March 18, 2015

Banyak kali aku tertangguh untuk berkongsi mengenai si dia. Rasul junjungan umat Islam sedunia.
Muhammad bin Abdullah.
Makanya, bersempena Maulid Nabi pada 3 Januari 2015 lalu, Penerapan Nilai-Nilai Islam bil. 1 Tahun 2015 bertarikh 5 Februari 2015 (Khamis) 15 RabiulAwal 1436H, Perbendaharaan telah menganjurkan satu ceramah bertajuk cliche yakni Ketika Cinta Bertasbih. Ceramah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Muhammad bin Abdullah al-amin. Ustaz hebat. Penyampaian unik. Setiap kali melangkah bab, kami akan sama-sama berdiri berselawat, berzikir. Semoga berkat hendaknya majlis ilmu, majlis yang memuji dan mengingati penciptanya. Semoga tidak sempat syaitan menggoda. Jujur, majlis terasa sangat cepat berlalu.

Syukurlah ianya bukan cerita cinta biasa-biasa. Ianya mengenai insan agung ketua para Nabi dan Rasul, Muhammad bin Abdullah S.A.W

Intipati ceramah dibahagikan kepada 5 bab.

BAB 1: Keturunan Muhammad S.A.W


Ya, Rasululllah berasal usulkan Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar. Isteri kedua. Terlahirnya Ismail maka tersebarlah menjadi bangsa Arab. Hasil dari rasa cemburu Siti Sarah melihat madunya direzekikan Allah zuriat, tidak dengan dia, dipujuk Nabi Ibrahim untuk membawa Siti Hajar jauh dari pandangan matanya. Maka, Nabi Ibrahim membawalah Siti Hajar dan Ismail yang masih kecil berpandukan dari petunjuk yang ALLAH bagi ke padang pasir kering kontang. Ditinggalkan anak dan isteri di gurun nan luas. Hanya doa dan tawakal kepada Allah.

(Tips Ustaz Al-Amin: Doa ibu bagus, dan doa ayah lagi bagus. Jadi, para ayah, rajin-rajinlah doakan untuk zuriat. Sebab para Nabi sangat rajin doakan zuriat masing-masing)

Dari padang pasir kontang wujudlah penempatan makin besar dan membesar akibat dari hentakan kaki Nabi Ismail. Wujudlah telaga air zam-zam hingga ke hari ini. Untuk pengetahuan, bangsa Israel paling banyak Nabi dan Rasul. Hanya 4 sahaja Nabi dan Rasul berketurunan Arab iaitu Nabi Hud A.S, Nabi Salleh A.S, Nabi Shuaib A.S dan Ulul-Azmi, Muhammad Rasulullah. Yang lain itu semuanya Israel penyebab bongkak dan takabburnya bangsa ini. Disebabkan banyak sangat Nabi dan Rasul yang lahir dikalangan bangsa Israel ini, maka menjadi hobi mereka membunuh para Nabi dan Rasul. Sebagai contoh, Nabi Zakaria yang digergaji kepalanya, Nabi Yahya di cincang badannya.

Nabi Isa A.S bawalah perkhabaran tentang kelahiran Nabi terakhir ini melalui kitab Injil. Lahirnya ketua para Nabi ini adalah dari Thihamah (tanah gersang yang banyak tumbuh pokok Tamar). Bangsa ini, bercita-cita mahu Nabi yang terakhir juga datang dari kalangan mereka, tetapi ditakdirkan Nabi terakhir datangnya dari bangsa Arab. Inilah, punca utama kenapa Israel sangat-sangat memusuhi bangsa Arab dan Islam khususnya.

Antara usaha bangsa Israel untuk menjadikan Rasul Ulul-Azmi adalah mencari di mana Thihamah seperti yang Nabi Isa A.S sampaikan. Sangkaan mereka adalah di Madinah. Tapi sebenarnya Thihamah adalah Makkah al-Mukarramah.

Bab 2: Kelahiran Muhammad S.A.W

Dimalam kelahiran Muhammad S.A.W, berlaku beberapa kejadian, tanda lahirnya manusia agung. Antaranya ialah:
1. Terpadamnya api sembahan kaum Majusi yang telah dipelihara selama 1000 tahun.
2. Tertutupnya pintu langit. Yang mana sebelum ini, semasa pintu langit masih terbuka luas, apabila ada perkhabaran mengenai musibah, atau kematian dan sebagainya, malaikat-malaikat akan berbual sesama mereka. Namun diambil peluang oleh para syaitan dan jin dengan mencuri dengar dan menyesatkan manusia yang sangat naif. 
 
Maka, bila saja utusan terakhir ini lahir, pintu langit pun ditutup bagi mengelakkan jin, syaitan, iblis untuk mencuri dengar perkhabaran dari langit dan menyesatkan umat manusia. Cerita ini boleh dirujuk pada surah ke-72 dalam kitab suci Al-Quran iaitu surah al-jin. Ayat ke-9 berbunyi begini:
Dan sesungguhnya kami (jin) dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mencuri dengar (berita-beritanya). Tetapi sekarang siapa (mencuba) mencuri dengar (seperti itu) pasti akan menjumpai panah-panah api yang mengintai (untuk membakarnya) 

3. Ditarik kelebihan jin. Seperti yang kita tahu, Nabi Sulaiman ini Allah kurniakan dengan mukjizat memiliki bala tentera yang sangat besar dan kuat dan merangkumi kebanyakan makhluk di dunia ini. Zaman itu, Nabi Sulaiman A.S dikurniakan Allah ilmu untuk merekrut para tenteranya termasukalah jin, manusia dan para binatang. Pada masa itu, manusia lagi hebat dari jin cumanya kurang dari bab usia yang pendek. Maka kaum jin lebih mendominasi ilmu yang diturunkan oleh Nabi Sulaiman. Justeru, kedatangan Rasulullah dengan mukjizat yang membawa rahmat ke seluruh alam yakni Al-Quran kareem, Allah titipkan ilmu untuk menundukkan jin dan Allah pelihara isi kandungan Al-Quran sampailah ke saat ini.

BAB 3: Kepada Siapa Nabi Diutuskan?
Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam

Surah al-Anbiya ayat ke-107.
Pengutusan Nabi penutup semua Nabi ini berbeza dengan pengutusan Nabi-Nabi sebelum ini. Nabi-Nabi sebelum ini diutus untuk membimbing kaum-kaum masing-masing sedangkan Muhammad bin Abdullah diutus kepada semua. Dan mukjizat-mukjizat yang Allah kurniakan kepada Nabi-Nabi sebelum bukan untuk rahmat seluruh alam. Antara contoh:
1. Nabi Daud A.S: dikurniakan suara yang sangat merdu sehinggakan bila Nabi Daud A.S membaca kitab Zabur, burung terbang boleh berhenti dek terkesima dengan kemerduan lalu jatuh dari tempat tinggi. Begitu juga dengan air yang sedang mengalir pun boleh berhenti.
2. Nabi Sulaiman: Direzekikan dengan bala tentera yang besar, kuat dan gagah. Namun masih ada kaum yang masih merasa tidak selamat. Cerita raja semut yang menyuruh kaum-kaumnya berlindung di dalam tanah apabila angkatan tentera Nabi Sulaiman hendak lalu menjadi bukti dalam cerita ini.
3. Nabi Yusuf A.S: Ketampanannya mengakibatkan beliau dipenjarakan lantaran terpikatnya Zulaikha dengan paras rupa beliau.

Semua mukjizat ini Allah berikan kepada Muhammad bin Abdullah, sekali dengan rahmatnya untuk sekalian alam.
Rasulullah bersuara merdu, bila menegur orang yang salah, orang boleh insaf.
Rasulullah cantik, bersih dan meninggalakn sunnah-sunnah untuk kita ikuti di belakang hari. Contoh, potong kuku Hari Isnin dan Khamis, jaga rumah dari kekotoran, potong bulu-bulu kemaluan, makan jangan membazir dan sebagainya.

BAB 4: Iktibar Penurunan Wahyu Pertama

Nabi anak yatim semenjak lahir. Ibunya meninggal ketika Baginda berusia 4 tahun. Disusuli meninggalnya atuk Baginda pada usia baginda hanya 6 tahun. Dijaga oleh pakcik baginda dan diajar ilmu perniagaan sehingga berusia 25 tahun dan berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid. Baginda selalu menjadi rujukan-rujukan masalah oleh penduduka setempat dan jika permasalahan terlalu sukar, Rasulullah suka duduk bersendirian dan berfikir di Gua Hira'.

Satu malam, malam wahyu pertama diturunkan ketika Nabi berumur 40 Tahun. Nabi mendengar suara menyuruhnya membaca.

"Iqra' "
'Aku tidak tahu membaca'
"Iqra' "
'Aku tidak tahu membaca'
"Iqra' "
'Aku tidak tahu membaca'

Pelajaran daripada peristiwa ini, Allah mahu tunjukkan kepada manusia, kalau berkehendakkan kejayaan, kurangkanlah pilihan dalam hidup. Dan janganlah bertangguh-tangguh kerana mati itu tiada bertangguh.

BAB 5: Janji Nabi

40 Tahun - Menjadi Nabi
43 Tahun - Menjadi Rasul
53 Tahun - Hijrah yang pertama
58 Tahun - Pembukaan Kota Makkah

Diakhir-akhir usia Baginda, Baginda selalu terkenang dengan sahabat-sahabat yang telah meninggal. Dan sebelum kewafatan manusia agung, Muhammad bin Abdullah ini, Baginda telah berjanji:

Syafaat kepada umatnya di akhirat kelak.

Kalau kita berkehendakkan syafaat daripada Baginda Rasulullah ini, kita hendaklah:
1. Cintai Nabi.
2. Banyakkan selawat kepada Nabi
3. Amalkan Sunnah Nabi.

Sekian.  InsyaALLAH jika ada perkongsian nanti aku akan kongsikan lagi di sini. Semoga bermanfaat.

Sunday, January 25, 2015

Sakit hati. Kecewa. 

Perasaan ini datang lagi. Tapi, disebabkan aku sudah pun mengalaminya sebelum ini, maka.. Aku pilih untuk redha. Sakitnya hati. Rasa tidak adil. Rasa kosong. Rasa oren. Rasa yang tidak sedap, semuanya aku cuba hadam perlahan-lahan. Pahit, mahu di telan, tapi apa pilihan yang aku ada? 

Usaha. Cuba yang sehabis baik, tapi kalau sudah dirancang Allah semenjak di Lauh Mahfuz lagi, siapalah aku untuk menolak. 

Sabarlah duhai hati. Pasti ada sesuatu yang Allah simpan, yang jauh lagi baik untuk aku. Untuk keluarga ku. Untuk orang sekeliling aku.

Terlihat kekecewaan orang lain, betapa aku ini masih terlalu ringan ujiannya. Yang lain masih tercari-cari. Masih mengharap sana sini. Syukurlah aku, apa adanya aku. Betapa rezeki itu bukan setakat wang ringgit. Ketenangan hati, kesihatan tubuh badan, keberadaan insan-insan kesayangan. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Aku saja yang masih buta. Masih memilih jalan hina. Semoga Allah tunjukkan jalan. Yang terbaik. Untuk aku. Dan juga dia. Dan mereka. Aamiin.

Biarlah. Teruskan hidup. Tetap melangkah. Sabar. Syukur. 

Kena ingat, kadang musibah yang melanda adalah asbab dari kecelakaan perlakuan diri sendiri. Kau tahu betapa celakanya perbuatan kau kan, Ara?

Bila teringat tentang nendaku. Kadang-kadang sampai sekarang perasaan seperti tidak percaya yang dia sudah tiada. Di dunia ni. Rasa macam pemergiannya ke alam sebelah sana cuma mimpi. Walau sebenarnya hidup di dunia inilah yang mimpi. Kematian kitalah saat terjaga hakiki.

Contoh macam semalam. Selepas seharian berjalan melawat sebahagian dari Negeri Perak (Felda Besout-Teluk Intan-Kampar-Gopeng) boleh dikatakan rutin harian untuk aku skrol aplikasi video sebelum melelapkan mata. Semuanya untuk melihat semula video-video childfruit yang dikongsikan oleh ayahnya dalam whatsapp adik beradik kami. Biasalah, childfruit nan sorang, dengan jarak beribu batu pula memisahkan, jumpanya cuma 2 3 kali setahun. Sebolehnya dalam sehari abang akan berkongsikan keletah si ndut pipi layut geramnya! *kancing gigi* so that makcik pakcik boleh tahu perkembangan diri si ndut itu.

Dalam skrol video-video yang ada, tiba-tiba terlihat satu video yang ada kelibat nenda. Kurus. Kecil. Sedang perhatikan bapak mempraktikan ritual adat bangsa Bugis dalam penerimaan cucu sulung. Nur Hawani Afifah binti Azriady.

Dengan tidak semena-mena airmata mengalir laju. Rindunya ya Allah... Rindu sangat-sangat-sangat-sangat yang teramat rindu.

Teringat masa-masa rohnya masih di jasad. Senyumnya. Gayanya. Bila termenung. Bila main gigi palsu. Bila berjalan. Semuanya seolah-olah terpampang di depan mata.

Hanya Al-Fatihah dapat aku kirimkan buatnya di sana. Semoga saja, kubur nendaku dapat dijadikan Allah sebagai salah satu diantara taman-taman syurgaNya. Aamiin.

Adat manusia kan? Selepas sudah tiada baru rindu-rinduan.

Friday, January 9, 2015

Bai. Hai.

Bismillah--
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Inilah entri pertama aku untuk tahun DuaPuluhLimaBelas.
Juga entri terakhir sebelum usia aku masuk ke DuaPuluhDelapan tahun. Lagi beberapa minit.

Hampir sembilan hari meninggalkan DuaPuluhEmpatBelas.
Review. Ada beberapa peristiwa penting harus aku rekod untuk jadi rujukan masa depan. Kalau masih panjang usia, diizin Allah.

Januari.
Kelahiran anak buah pertama. Nur Afifah Hawani binti Azriady.
Buah hati pengarang jantung kami sekeluarga.
Kalau diizin Allah juga, Julai tahun ini bakal menyusul yang kedua. 

Februari
Tiada peristiwa penting.

Mac
Sekali lagi terlibat dengan kemalangan. Alhamdulillah. Usia masih panjang.

April
Tiada peristiwa penting

Mei
Perkahwinan Kak Tasha. Penting sebab aku jadi pencepit utama masa ni. Gambar? Tiada.

Jun
Tiada peristiwa penting

Ogos
Tiada peristiwa penting

September
Pertama kali dijemput menjawab peperiksaan online oleh SPA untuk jawatan Penguasa Kastam. Lulus. Proceed ke temuduga.

Oktober
Temuduga kastam. Dukacita. Gagal.

November
Kali ketiga join Peperiksaan SPA untuk jawatan M41 Pegawai Tadbir Diplomatik. Alhamdulillah lulus. Proceed to temuduga.

Disember
13-18
Acara makan angin bersama keluarga. Percutian ni memang sudah dirancang semenjak bulan September. Tiket mak bapak dan adik-adik sudah dibeli. Kami sekeluarga berkumpul di Tanah Malaya. Modus operasi di rumah mak polisi. Haha. Maka, berkumpul lah kami dan family bonding selama lebih kurang seminggu. Ke Cameron makan strawbery. Selebihnya aktivit shopping dan makan-makan. Sempat celebrate birthday mak dengan sambutan kecil. Potong kek dan bacaan doa selamat.

24
Pulang ke kampung secara tiba-tiba. Nenda dikhabarkan sakit kuat. Sampai rumah, sempat mengurut kaki nenda tersayang. Makan bersama. Puas hati nenda makan berselera. Tidur di rumah nenda supaya dapat urut belakang bila batuk di tengah malam. 

29
Pagi aku dibangunkan dengan panggilan telefon dari makcik yang bertanggung jawab menjaga nenda. Turun (baca: pergi ke rumah nenda) sekarang. Nenek minta urutkan belakang. Batuk kuat. Laju saja aku menuju ke rumah nenda. Malah sarapan yang dibuat mak langsung tidak sempat aku sentuh. Sampai di rumah nenda, aku lihat susuk tua yang tidak bermaya. Duduk dengan kain telekung belum sempat dibuka. Kedengaran batuk halus yang tidak lepas. Aku pujuk nendaku ke hospital. Mana tahu boleh diberi gas supaya dapat bernafas dengan baik. Nenda cuma menggeleng. Dan jatuhkan badannya ke riba ku. Lama.. Sambil aku cuba urutkan belakang lehernya dengan Vics yang aku belikan khas untuk dia. Teringat kata-kata nenda beberapa hari lalu selepas aku urutkan Vics di malam dia terbangun akibat batuk. Sedap baunya. Dia suka. 

Makcik-makcik aku kalut. Aku ingat. Mata mereka berair. Nenda terlalu lemah kelihatannya. Hati aku risau. Mahu segera aku bawakan ke hospital. Dengan bantuan beberapa lelaki dalam keluarga ku, nenda diangkat ke kereta. Aku laju duduk di dalam kereta. Mahu memangku lagi wanita kesayang ku itu. 

Dengan badan nenek di ribaku. Laju pakcik memecut kereta. Mahu segera sampai ke hospital. Aku hanya mampu mengulang kalimah Lailahaillallah, Muhammadurrasulullah di telinga nendaku.. Tiada suara yang kedengaran. Mulut nendaku berbuih. Kahak. Air liur. Tapi aku tahu nendaku mendengar. Aku tahu. Sedang dalam ribaku di rumah tadi, kalimah ini sentiasa disebut nenek. Beserta doa Rabbana atina fiddun ya hasanah, wa fil aakhirati hasanah wakina aza ban naar-- Aamiin.. Aamin ya Allah... Sedaya upaya aku untuk menahan tangis. Bukan. Ini bukan masanya ya Allah. Dengan sesak tangis anak-anak nendaku. Akhirnya aku kalah. Tiga kali dapat ku rasakan badan nendaku tersentak.
Percayalah. Semua kami dalam keadaan indenial bilamana tangan nendaku jatuh layu ke bawah. Pengsan barangkali. Penat. Aku cuba memeriksa nadi. Tiada. Atau aku mungin tidak pasti. Masih aku menyuruh pakcik ku agar terus ke hospital. Nendaku masih bernyawa. Masih. Aku masih berharap.

Tiba di hospital, Bahagian Kecemasan, nendaku di sorong masuk ke bilik. Ditemani dengan seorang makcikku. Sama seperti dalam drama. Fikiranku terbayang. Melayang. Tidak lama selepas itu, Tiba-tiba kedengaran esak raung dari dalam--

Innalillah-- Dari DIA kita datang, kepada DIA kita kembali.
DuaPuluhSembilan DuaBelas DuaPuluhEmpatBelas
Perginya kesayanganku, Arpah binti Menaji.. Berhijrahnya nendaku ke alam sebelah sana. Tinggallah dunia, tinggallah anak cucu, tinggallah kesakitan, tinggallah penderitaan. Sakitnya dalam hati bila melihat sekujur tubuh yang telah ditutupi kain putih, kaku tiada bernyawa. Aku hampiri tubuh nendaku, ku selak kain putih yang menutup wajahnya. Tenang. Dengan air mata yang jatuh dari mata kanannya. Tiada sudah nendaku tukang ketawa lawak bodoh ku. Yang mengusikku dengan gigi palsunya. Yang datang bermalam di rumah kami bila aku mahu pulangan ke tempat mencari rezeki.

Aku kira. Penamat tahun 2014 diwarnai dengan kisah suram. Dan awan suram masih memayungi aku. Sehingga kini.

Walau bagaimanapun. Aku berdoa. Semoga tahun ini membawa banyak berita gembira untuk ku. Juga keluarga ku. Ujian, Allah timpakan ke atas hamba-hambanya yang mampu. Dan jika sabar, insyaaAllah beroleh pahala yang besar.

9 Januari 2015
Selamat ulang tahun kelahiran duhai aku. Usia bertambah. Tahu apa maknanya? 
Semakin hampir dengan tarikh luput kehidupan. Semakin hampir juga menuju ke alam sebelah sana.