Bai. Hai.

Bismillah--
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Inilah entri pertama aku untuk tahun DuaPuluhLimaBelas.
Juga entri terakhir sebelum usia aku masuk ke DuaPuluhDelapan tahun. Lagi beberapa minit.

Hampir sembilan hari meninggalkan DuaPuluhEmpatBelas.
Review. Ada beberapa peristiwa penting harus aku rekod untuk jadi rujukan masa depan. Kalau masih panjang usia, diizin Allah.

Januari.
Kelahiran anak buah pertama. Nur Afifah Hawani binti Azriady.
Buah hati pengarang jantung kami sekeluarga.
Kalau diizin Allah juga, Julai tahun ini bakal menyusul yang kedua. 

Februari
Tiada peristiwa penting.

Mac
Sekali lagi terlibat dengan kemalangan. Alhamdulillah. Usia masih panjang.

April
Tiada peristiwa penting

Mei
Perkahwinan Kak Tasha. Penting sebab aku jadi pencepit utama masa ni. Gambar? Tiada.

Jun
Tiada peristiwa penting

Ogos
Tiada peristiwa penting

September
Pertama kali dijemput menjawab peperiksaan online oleh SPA untuk jawatan Penguasa Kastam. Lulus. Proceed ke temuduga.

Oktober
Temuduga kastam. Dukacita. Gagal.

November
Kali ketiga join Peperiksaan SPA untuk jawatan M41 Pegawai Tadbir Diplomatik. Alhamdulillah lulus. Proceed to temuduga.

Disember
13-18
Acara makan angin bersama keluarga. Percutian ni memang sudah dirancang semenjak bulan September. Tiket mak bapak dan adik-adik sudah dibeli. Kami sekeluarga berkumpul di Tanah Malaya. Modus operasi di rumah mak polisi. Haha. Maka, berkumpul lah kami dan family bonding selama lebih kurang seminggu. Ke Cameron makan strawbery. Selebihnya aktivit shopping dan makan-makan. Sempat celebrate birthday mak dengan sambutan kecil. Potong kek dan bacaan doa selamat.

24
Pulang ke kampung secara tiba-tiba. Nenda dikhabarkan sakit kuat. Sampai rumah, sempat mengurut kaki nenda tersayang. Makan bersama. Puas hati nenda makan berselera. Tidur di rumah nenda supaya dapat urut belakang bila batuk di tengah malam. 

29
Pagi aku dibangunkan dengan panggilan telefon dari makcik yang bertanggung jawab menjaga nenda. Turun (baca: pergi ke rumah nenda) sekarang. Nenek minta urutkan belakang. Batuk kuat. Laju saja aku menuju ke rumah nenda. Malah sarapan yang dibuat mak langsung tidak sempat aku sentuh. Sampai di rumah nenda, aku lihat susuk tua yang tidak bermaya. Duduk dengan kain telekung belum sempat dibuka. Kedengaran batuk halus yang tidak lepas. Aku pujuk nendaku ke hospital. Mana tahu boleh diberi gas supaya dapat bernafas dengan baik. Nenda cuma menggeleng. Dan jatuhkan badannya ke riba ku. Lama.. Sambil aku cuba urutkan belakang lehernya dengan Vics yang aku belikan khas untuk dia. Teringat kata-kata nenda beberapa hari lalu selepas aku urutkan Vics di malam dia terbangun akibat batuk. Sedap baunya. Dia suka. 

Makcik-makcik aku kalut. Aku ingat. Mata mereka berair. Nenda terlalu lemah kelihatannya. Hati aku risau. Mahu segera aku bawakan ke hospital. Dengan bantuan beberapa lelaki dalam keluarga ku, nenda diangkat ke kereta. Aku laju duduk di dalam kereta. Mahu memangku lagi wanita kesayang ku itu. 

Dengan badan nenek di ribaku. Laju pakcik memecut kereta. Mahu segera sampai ke hospital. Aku hanya mampu mengulang kalimah Lailahaillallah, Muhammadurrasulullah di telinga nendaku.. Tiada suara yang kedengaran. Mulut nendaku berbuih. Kahak. Air liur. Tapi aku tahu nendaku mendengar. Aku tahu. Sedang dalam ribaku di rumah tadi, kalimah ini sentiasa disebut nenek. Beserta doa Rabbana atina fiddun ya hasanah, wa fil aakhirati hasanah wakina aza ban naar-- Aamiin.. Aamin ya Allah... Sedaya upaya aku untuk menahan tangis. Bukan. Ini bukan masanya ya Allah. Dengan sesak tangis anak-anak nendaku. Akhirnya aku kalah. Tiga kali dapat ku rasakan badan nendaku tersentak.
Percayalah. Semua kami dalam keadaan indenial bilamana tangan nendaku jatuh layu ke bawah. Pengsan barangkali. Penat. Aku cuba memeriksa nadi. Tiada. Atau aku mungin tidak pasti. Masih aku menyuruh pakcik ku agar terus ke hospital. Nendaku masih bernyawa. Masih. Aku masih berharap.

Tiba di hospital, Bahagian Kecemasan, nendaku di sorong masuk ke bilik. Ditemani dengan seorang makcikku. Sama seperti dalam drama. Fikiranku terbayang. Melayang. Tidak lama selepas itu, Tiba-tiba kedengaran esak raung dari dalam--

Innalillah-- Dari DIA kita datang, kepada DIA kita kembali.
DuaPuluhSembilan DuaBelas DuaPuluhEmpatBelas
Perginya kesayanganku, Arpah binti Menaji.. Berhijrahnya nendaku ke alam sebelah sana. Tinggallah dunia, tinggallah anak cucu, tinggallah kesakitan, tinggallah penderitaan. Sakitnya dalam hati bila melihat sekujur tubuh yang telah ditutupi kain putih, kaku tiada bernyawa. Aku hampiri tubuh nendaku, ku selak kain putih yang menutup wajahnya. Tenang. Dengan air mata yang jatuh dari mata kanannya. Tiada sudah nendaku tukang ketawa lawak bodoh ku. Yang mengusikku dengan gigi palsunya. Yang datang bermalam di rumah kami bila aku mahu pulangan ke tempat mencari rezeki.

Aku kira. Penamat tahun 2014 diwarnai dengan kisah suram. Dan awan suram masih memayungi aku. Sehingga kini.

Walau bagaimanapun. Aku berdoa. Semoga tahun ini membawa banyak berita gembira untuk ku. Juga keluarga ku. Ujian, Allah timpakan ke atas hamba-hambanya yang mampu. Dan jika sabar, insyaaAllah beroleh pahala yang besar.

9 Januari 2015
Selamat ulang tahun kelahiran duhai aku. Usia bertambah. Tahu apa maknanya? 
Semakin hampir dengan tarikh luput kehidupan. Semakin hampir juga menuju ke alam sebelah sana. 







Comments

Popular Posts