Selalu, bila aku terbayang-bayang detik-detik sebelum nendaku, Arpah binti Menaji mahu meninggalkan kami buat selama-lamanya, segala-gala yang Allah telah atur untuk setiap satu kami anak cucunya, setiap dari kami, punya momen sendiri. 

Aku yakin, ada yang mahu Allah sampaikan.

Pagi, dengan aku yang Allah bagi cuti. Bangun lewat. Biasalah.

Tapi dengan satu panggilan, aku boleh bangun. Gigih bangun, bersihkan diri sekadarnya. Tanpa menjamah sikitpun sarapan yang mak buatkan walau sudah dipelawa sungguh-sungguh. Macam ada yang memanggil. Pentingnya sampai aku usaha sedaya supaya sampai ke rumah arwah secepat yang mungkin.

Allah sudah atur malam sebelum untuk aku tidur dengan jumper. Dengan seluar panjang.
Supaya esoknya aku boleh iring, dengan harapan nenda masih boleh diselamatkan, ke hospital tanpa aku kelibut mencari tudung menyalin pakaian. Walau tidak sempurna mana auratku tertutup, syukurku hanya Allah tahu, betapa aku direzekikan DIA untuk diambil nenda dalam pangkuanku. Dalam pelukanku. Hayat terakhirnya tamat di dekat aku yang masih belum mahu percaya yang rambut putih yang tengah aku belai sudah kosong tiada roh.

Benarlah. Untuk setiap apa jua kejadian, baik dan buruk, Allah sudah atur, cantik untuk setiap hambanya. Setiap satu, sekecil-kecil perkara, dan sebesar-besar kejadian, itulah selayaknya yang terjadi. Cantik, Allah susun cantik untuk kita. Cuma tinggal kita yang perlu berfikir. Guna akal yang Allah bagi percuma untuk mencari setiap hikmah. Bersangka baik dengan Allah. Kena selalu ingatkan diri, muhasabah diri, supaya sentiasa nampak yang indah saja walau dalam seburuk-buruk kejadian.

Semoga mampu aku didik diri. Untuk mencari yang baik dalam kajahatan. Yang indah dalam kecelakan. Aamin.


Comments

Popular Posts