Banyak kali aku tertangguh untuk berkongsi mengenai si dia. Rasul junjungan umat Islam sedunia.
Muhammad bin Abdullah.
Makanya, bersempena Maulid Nabi pada 3 Januari 2015 lalu, Penerapan Nilai-Nilai Islam bil. 1 Tahun 2015 bertarikh 5 Februari 2015 (Khamis) 15 RabiulAwal 1436H, Perbendaharaan telah menganjurkan satu ceramah bertajuk cliche yakni Ketika Cinta Bertasbih. Ceramah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Muhammad bin Abdullah al-amin. Ustaz hebat. Penyampaian unik. Setiap kali melangkah bab, kami akan sama-sama berdiri berselawat, berzikir. Semoga berkat hendaknya majlis ilmu, majlis yang memuji dan mengingati penciptanya. Semoga tidak sempat syaitan menggoda. Jujur, majlis terasa sangat cepat berlalu.

Syukurlah ianya bukan cerita cinta biasa-biasa. Ianya mengenai insan agung ketua para Nabi dan Rasul, Muhammad bin Abdullah S.A.W

Intipati ceramah dibahagikan kepada 5 bab.

BAB 1: Keturunan Muhammad S.A.W


Ya, Rasululllah berasal usulkan Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar. Isteri kedua. Terlahirnya Ismail maka tersebarlah menjadi bangsa Arab. Hasil dari rasa cemburu Siti Sarah melihat madunya direzekikan Allah zuriat, tidak dengan dia, dipujuk Nabi Ibrahim untuk membawa Siti Hajar jauh dari pandangan matanya. Maka, Nabi Ibrahim membawalah Siti Hajar dan Ismail yang masih kecil berpandukan dari petunjuk yang ALLAH bagi ke padang pasir kering kontang. Ditinggalkan anak dan isteri di gurun nan luas. Hanya doa dan tawakal kepada Allah.

(Tips Ustaz Al-Amin: Doa ibu bagus, dan doa ayah lagi bagus. Jadi, para ayah, rajin-rajinlah doakan untuk zuriat. Sebab para Nabi sangat rajin doakan zuriat masing-masing)

Dari padang pasir kontang wujudlah penempatan makin besar dan membesar akibat dari hentakan kaki Nabi Ismail. Wujudlah telaga air zam-zam hingga ke hari ini. Untuk pengetahuan, bangsa Israel paling banyak Nabi dan Rasul. Hanya 4 sahaja Nabi dan Rasul berketurunan Arab iaitu Nabi Hud A.S, Nabi Salleh A.S, Nabi Shuaib A.S dan Ulul-Azmi, Muhammad Rasulullah. Yang lain itu semuanya Israel penyebab bongkak dan takabburnya bangsa ini. Disebabkan banyak sangat Nabi dan Rasul yang lahir dikalangan bangsa Israel ini, maka menjadi hobi mereka membunuh para Nabi dan Rasul. Sebagai contoh, Nabi Zakaria yang digergaji kepalanya, Nabi Yahya di cincang badannya.

Nabi Isa A.S bawalah perkhabaran tentang kelahiran Nabi terakhir ini melalui kitab Injil. Lahirnya ketua para Nabi ini adalah dari Thihamah (tanah gersang yang banyak tumbuh pokok Tamar). Bangsa ini, bercita-cita mahu Nabi yang terakhir juga datang dari kalangan mereka, tetapi ditakdirkan Nabi terakhir datangnya dari bangsa Arab. Inilah, punca utama kenapa Israel sangat-sangat memusuhi bangsa Arab dan Islam khususnya.

Antara usaha bangsa Israel untuk menjadikan Rasul Ulul-Azmi adalah mencari di mana Thihamah seperti yang Nabi Isa A.S sampaikan. Sangkaan mereka adalah di Madinah. Tapi sebenarnya Thihamah adalah Makkah al-Mukarramah.

Bab 2: Kelahiran Muhammad S.A.W

Dimalam kelahiran Muhammad S.A.W, berlaku beberapa kejadian, tanda lahirnya manusia agung. Antaranya ialah:
1. Terpadamnya api sembahan kaum Majusi yang telah dipelihara selama 1000 tahun.
2. Tertutupnya pintu langit. Yang mana sebelum ini, semasa pintu langit masih terbuka luas, apabila ada perkhabaran mengenai musibah, atau kematian dan sebagainya, malaikat-malaikat akan berbual sesama mereka. Namun diambil peluang oleh para syaitan dan jin dengan mencuri dengar dan menyesatkan manusia yang sangat naif. 
 
Maka, bila saja utusan terakhir ini lahir, pintu langit pun ditutup bagi mengelakkan jin, syaitan, iblis untuk mencuri dengar perkhabaran dari langit dan menyesatkan umat manusia. Cerita ini boleh dirujuk pada surah ke-72 dalam kitab suci Al-Quran iaitu surah al-jin. Ayat ke-9 berbunyi begini:
Dan sesungguhnya kami (jin) dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mencuri dengar (berita-beritanya). Tetapi sekarang siapa (mencuba) mencuri dengar (seperti itu) pasti akan menjumpai panah-panah api yang mengintai (untuk membakarnya) 

3. Ditarik kelebihan jin. Seperti yang kita tahu, Nabi Sulaiman ini Allah kurniakan dengan mukjizat memiliki bala tentera yang sangat besar dan kuat dan merangkumi kebanyakan makhluk di dunia ini. Zaman itu, Nabi Sulaiman A.S dikurniakan Allah ilmu untuk merekrut para tenteranya termasukalah jin, manusia dan para binatang. Pada masa itu, manusia lagi hebat dari jin cumanya kurang dari bab usia yang pendek. Maka kaum jin lebih mendominasi ilmu yang diturunkan oleh Nabi Sulaiman. Justeru, kedatangan Rasulullah dengan mukjizat yang membawa rahmat ke seluruh alam yakni Al-Quran kareem, Allah titipkan ilmu untuk menundukkan jin dan Allah pelihara isi kandungan Al-Quran sampailah ke saat ini.

BAB 3: Kepada Siapa Nabi Diutuskan?
Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam

Surah al-Anbiya ayat ke-107.
Pengutusan Nabi penutup semua Nabi ini berbeza dengan pengutusan Nabi-Nabi sebelum ini. Nabi-Nabi sebelum ini diutus untuk membimbing kaum-kaum masing-masing sedangkan Muhammad bin Abdullah diutus kepada semua. Dan mukjizat-mukjizat yang Allah kurniakan kepada Nabi-Nabi sebelum bukan untuk rahmat seluruh alam. Antara contoh:
1. Nabi Daud A.S: dikurniakan suara yang sangat merdu sehinggakan bila Nabi Daud A.S membaca kitab Zabur, burung terbang boleh berhenti dek terkesima dengan kemerduan lalu jatuh dari tempat tinggi. Begitu juga dengan air yang sedang mengalir pun boleh berhenti.
2. Nabi Sulaiman: Direzekikan dengan bala tentera yang besar, kuat dan gagah. Namun masih ada kaum yang masih merasa tidak selamat. Cerita raja semut yang menyuruh kaum-kaumnya berlindung di dalam tanah apabila angkatan tentera Nabi Sulaiman hendak lalu menjadi bukti dalam cerita ini.
3. Nabi Yusuf A.S: Ketampanannya mengakibatkan beliau dipenjarakan lantaran terpikatnya Zulaikha dengan paras rupa beliau.

Semua mukjizat ini Allah berikan kepada Muhammad bin Abdullah, sekali dengan rahmatnya untuk sekalian alam.
Rasulullah bersuara merdu, bila menegur orang yang salah, orang boleh insaf.
Rasulullah cantik, bersih dan meninggalakn sunnah-sunnah untuk kita ikuti di belakang hari. Contoh, potong kuku Hari Isnin dan Khamis, jaga rumah dari kekotoran, potong bulu-bulu kemaluan, makan jangan membazir dan sebagainya.

BAB 4: Iktibar Penurunan Wahyu Pertama

Nabi anak yatim semenjak lahir. Ibunya meninggal ketika Baginda berusia 4 tahun. Disusuli meninggalnya atuk Baginda pada usia baginda hanya 6 tahun. Dijaga oleh pakcik baginda dan diajar ilmu perniagaan sehingga berusia 25 tahun dan berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid. Baginda selalu menjadi rujukan-rujukan masalah oleh penduduka setempat dan jika permasalahan terlalu sukar, Rasulullah suka duduk bersendirian dan berfikir di Gua Hira'.

Satu malam, malam wahyu pertama diturunkan ketika Nabi berumur 40 Tahun. Nabi mendengar suara menyuruhnya membaca.

"Iqra' "
'Aku tidak tahu membaca'
"Iqra' "
'Aku tidak tahu membaca'
"Iqra' "
'Aku tidak tahu membaca'

Pelajaran daripada peristiwa ini, Allah mahu tunjukkan kepada manusia, kalau berkehendakkan kejayaan, kurangkanlah pilihan dalam hidup. Dan janganlah bertangguh-tangguh kerana mati itu tiada bertangguh.

BAB 5: Janji Nabi

40 Tahun - Menjadi Nabi
43 Tahun - Menjadi Rasul
53 Tahun - Hijrah yang pertama
58 Tahun - Pembukaan Kota Makkah

Diakhir-akhir usia Baginda, Baginda selalu terkenang dengan sahabat-sahabat yang telah meninggal. Dan sebelum kewafatan manusia agung, Muhammad bin Abdullah ini, Baginda telah berjanji:

Syafaat kepada umatnya di akhirat kelak.

Kalau kita berkehendakkan syafaat daripada Baginda Rasulullah ini, kita hendaklah:
1. Cintai Nabi.
2. Banyakkan selawat kepada Nabi
3. Amalkan Sunnah Nabi.

Sekian.  InsyaALLAH jika ada perkongsian nanti aku akan kongsikan lagi di sini. Semoga bermanfaat.

Comments

Popular Posts